Kisah Hijrah Rasulullah SAW

gambar hiasan
Gambar hiasan

KEJAYAAN hijrah Rasulullah SAW merupakan satu pengorbanan dan perjuangan penting yang harus diteladani. Kejayaan yang ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad itu bukanlah kejayaan secara mutlak baginda sendirian, tetapi atas perintah Allah SWT dan bagaimana Baginda menyusun ketenteraannya yang berperanan untuk memperjuangkan agama Islam itu sendiri.

Perbincangan rancangan ‘Ibrah’ pada minggu lalu membuka satu lagi episod kefahaman berkenaan kisah Hijrah Rasulullah SAW. Dalam perkongsian bersama-sama Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman, beliau menjelaskan tentang perihal al-Quran yang membicarakan tentang hijrah Nabi Muhammad SAW ini, tetapi jarang difahami dengan mendalam oleh kita. Bagaimana cerita Hijrah di dalam al-Quran?

Perjalanan Hijrah itu bukanlah sesuatu yang mudah dan bukan sekadar Rasulullah SAW itu melarikan diri (berpindah) begitu sahaja. Nabi bersama-sama para sahabat berbincang dan bermusyawarah sebelum bergerak ke Madinah. Malah, kisah Nabi Muhammad SAW bersembunyi dengan Saidina Abu Bakar AS di Gua Thur juga menjadi petanda penting bahawa Hijrah baginda itu melalui perancangan yang berstrategi.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran, menerusi Surah at-Taubah yang bermaksud, “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekkah) mengeluarkannya (dari negeri Mekah) sedang dia salah seorang dari dua sahabat semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya : “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi selama-lamanya kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah ayat 40)

Dalam ayat ini, Allah SWT memulakan dengan ayat ‘kalau kamu tidak menolong baginda Nabi’. Hijrah bukan sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Tetapi Hijrah mengajar kita mengenal agama Islam itu sendiri.

Allah SWT memperihalkan dalam ayat ini tentang golongan-golongan yang tidak mahu berjuang menegakkan agama Allah SWT (Islam) itu, mereka sendiri akan menjadi rugi kerana Islam itu diperjuangkan oleh pengikut baginda Nabi Muhammad SAW yang taat dan kemenangan itu dibantu oleh Allah SWT.

Dikisahkan bahawa di dalam kisah penghijrahan Nabi itu sendiri, baginda berhadapan dengan sikap orang-orang munafik yang mengganggu para sahabat yang ingin berperang.

Peristiwa Hijrah yang berlaku, sebagai tanda peringatan kepada manusia bahawa kemenangan mutlak itu bukanlah kemenangan daripada kekuasaan dan kekuatan himpunan manusia, tetapi datangnya nusrah (pertolongan) daripada Allah SWT. Lihatlah dalam sejarah, berapa banyak peristiwa peperangan yang memperjelaskan kuantiti tentera Islam tidak menjamin kemenangan tetapi kualiti tentera merupakan kunci dalam kejayaan.

Peristiwa Hijrah menjelaskan tentang sikap segelintir para sahabat yang tidak komitmen dengan perjuangan jihad. Namun, kelemahan ini menjadi kunci kepada para pejuang yang terus istiqamah membantu perjuangan sahaja akan mara ke hadapan.

Orang-orang yang berjaya akan menggunakan seluruh tenaga dan upaya untuk membantu dan berjihad, sementara orang-orang yang kalah akan mencipta alasan untuk mencapai kejayaan.

Dalam ayat di atas tadi Allah SWT menjelaskan tentang perihal baginda Nabi Muhammad SAW bersama-sama Saidina Abu Bakar R.A di dalam Gua Thur lalu katanya, “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat yang kamu tidak melihatnya).

Salah satu perkara penting yang dapat dipelajari daripada peristiwa Hijrah juga adalah sikap ketenangan yang ditunjukkan oleh sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Bantuan melalui sikap ketenangan ini memberi gambaran bahawa manusia ini perlu dibantu bukan secara fizikal semata-mata tetapi kekuatan mental juga penting.

Berapa ramai di antara kita pada hari ini yang membantu teman-teman yang ingin berhijrah ke arah kebaikan dengan memberikan bantuan melalui sikap dan keperibadian? Mempamerkan akhlak yang baik dan menunjukkan sikap orang mukmin itu adalah cermin kepada kejayaan jiwa dan peribadi.

Sementara itu, Sheikh Mutawalli Syaarawi menyatakan bahawa syarat untuk melengkap kejayaan itu juga adalah dengan ikhtiar. Kejayaan Hijrah Rasulullah SAW itu ditunjukkan melalui sikap ikhtiar baginda dengan meletakkan saf-saf pemimpinnya yang akan menutup jalan agar tidak dapat dihidu oleh kaum musyrikin untuk sampai ke Gua Thur, juga mereka yang akan bertindak menghantar khabar (perisik) kepada baginda Nabi Muhammad.

Tugas dan peranan yang diberikan kepada para sahabat itu semata-mata untuk memastikan kejayaan. Para sahabat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan terbaik dan tidak melaksanakan sekadar melepaskan batuk di tangga. Para sahabat menggunakan strategi dan kemahiran mengikut kadar kemampuannya untuk membantu perjuangan baginda Nabi.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah ayat 218).

Peristiwa Hijrah mengajar kita untuk berdisiplin dan berstrategi di dalam menghadapi musuh di samping menunjukkan bahawa orang yang benar-benar ikhlas berjuang sahaja akan dibantu oleh Allah SWT.

Nota: Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Oktober 2015

Sumber: http://ikimfm.my October 19, 2015
Syafiq Salleh Berita Harian, BH, ibrah, syafiq zulakifli