Keluarga Sejahtara Pemangkin Transformasi Negara

backdrop-outline

Perkahwinan merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh setiap pasangan, yang kemudiannya akan membentuk entiti kecil iaitu keluarga.

Keluarga adalah unit terkecil dalam sebuah masyarakat. Keluarga bukan hanya sekadar hubungan formal antara suami, isteri, dan anak-anak namun juga memiliki fungsi dan tugas tersendiri dalam masyarakat. Institusi ini bertindak sebagai saluran asas dalam pembentukan sikap, nilai murni dan integriti seseorang individu yang melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni dan dinamik.

Program membina kesejahteraan keluarga memfokuskan kepada peranan dan tanggungjawab individu/pasangan dalam membentuk keluarga sejahtera serta membina pendewasaan keperibadian anggotanya. Bagi pasangan suami isteri yang benar-benar memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, sudah pasti segala urusan keluarga dapat disempurnakan dengan baik. Secara tidak langsung, keadaan keluarga berkenaan terdorong untuk berada dalam kebahagiaan, ketenangan dan keharmonian.

Pelaksanaan program ini membantu misi dan tujuan dalam keluarga yang dianjurkan oleh agama Islam, institusi kekeluargaan terbina untuk saling melengkapi dan menyempurnakan misi ibadah. Dari situlah entiti ini akan berkembang dan melaksanakan pembangunan lalu menyumbang manfaat sebanyak-banyaknya untuk kemakmuran di muka bumi.

Program ini telah diadakan pada 24 hingga 25 November 2017, bertempat di Hotel Impian Morib. Disertai oleh 60 peserta yang terdiri daripada pasangan suami isteri serta individu. Topik yang dibicarakan adalah Anak Amanah Allah & Cabaran Sosial oleh Ustaz Haslin Bahrim, topik Komunikasi & Interaksi Berkesan dan Psikologi Keluarga & Pengurusan Emosi oleh Dato’ Dr. Ismail Alias, topik Imbangi Kerjaya & Keluarga oleh Ustaz Zakaria Othman dan topik Persoalan Hukum Dalam Keluarga Islam (Hak Indvidu/Pasangan) oleh Suzana Ghazali.

Acara penutup program disempurnakan oleh YB Budiman Mohd. Zohdi, ADUN Sungai Panjang Selangor dan Ahli Parlimen Sungai Besar.

[ Galeri Foto ]