Pelaburan Dalam Komoditi

Pelaburan biasanya membawa konotasi tentang saham, unit amanah dan hartanah dan secara umumnya, kita jarang-jarang terdedah dengan pelaburan tentang komoditi. Yang membezakan komoditi daripada barangan yang lain ialah komoditi mempunyai harga yang sama di serata dunia. Harga emas seauns misalnya adalah sama, tidak kira mana lokasinya sama ada di Brazil atau Bombay. Sementara itu, harga barangan yang lain bergantung pada lokasi dan jenama.

Komoditi boleh dikategorikan kepada galian – minyak, emas; hasil pertanian – kelapa sawit, kacang soya, gandum; ternakan – lembu, kambing, dan sebagainya. Malah, mengikut sejarah, dagangan komoditi bermula sejak zaman Sumerian lagi, iaitu ternakan seperti kambing dan biri-biri diperdagangkan. Dengan bertambah canggihnya pasaran kawangan, kadar faedah atau bunga juga diperdagangkan dan dikategorikan dalam komoditi.

Perniagaan dalam komiditi terdiri dariapada perniagaan yang berasaskan fizikal, iaitu penghantaran secara fizikal barang yang didagangkan dan perniagaan terbitan. Pada dekad yang lepas, dagangan dalam komoditi telah bertambah dari segi nilai dan jumlahnya. Hal ini hasil daripada tarikan komoditi sebagai kelas aset untuk pelaburan dan berkembangnya pilihan pelaburan yang membuatkannya mudah untuk memasuki pasaran.

Apakah yang menarik tentang pelaburan dalam komoiditi? Berbeza daripada pelaburan saham yang bergantung pada keuntungan, strategi perniagaan syarikat yang tertakluk pada pelbagai faktor, pelaburan dalam emas misalnya, memberikan alternatif yang menarik. Emas sebagai komoditi tidak mungkin pupus dalam jangka masa yang panjang, tetapi saham dalam syarikat permotoran mungkin tidak wujud lagi pada 100 tahun akan datang kerana faktor industri atau ekonomi.

Pengalaman dalam krisis kewangan 2008/2009, iaitu banyak institusi kewangan yang besar mengalami keruntuhan dan pemegang sahamnya mengalami kerugian yang banyak, perlu dijadikan panduan. Sebagai bandingan, pasaran komoditi tidak terdedah atau mengalami keruntuhan yang sedemikian. Oleh itu, pelaburan dalam komoditi dapat menjadi punca pendapatan bagi pelabur yang teliti dalam pelaburannya. Pelabur yang teliti akan mengkaji komoditi yang mana yang perlu dibeli, masa membelinya dan pada harga yang manakah yang pelabur patut menjualnya.

Bagi mereka yang tidak begitu mahir dalam pasaran komoditi, terdapat beberapa cara untuk melabur. Antara jenis pelaburan yang dapat dimasuki ialah indeks komoditi dan beberapa jenis kontrak serta pilihan belian yang membolehkan pelabur meraih keuntungan bergantung pada jangkaan keuntungan bagi instrumen pelaburan tersebut. Seperti jenis pelaburan yang lain, penyelidikan yang menyeluruh dan teliti adalah perlu sebelum membuat pelaburan.

Walaupun secara relatifnya pasaran komoditi lebih stabil, terdapat risiko yang terlibat, terutamanya apabila kita menimbangkan beberapa aspek pelaburan permulaan, jenis pinjaman atau margin ketika pembelian dan faktor semula jadi atau yang berkaitan dengan industri komoditi itu. Sungguhpun kesan pasaran tidak begitu kuat seperti dalam pasaran saham, hal ini tidak boleh dipandang ringan.

Terdapat beberapa cara melabur dalam komoditi termasuk pendekatan keluk hasil, iaitu pelabur akan membeli jenis komoditi yang sama, tetapi yang berbeza tarikh matangnya. Dengan cara ini, pelabur dapat mengimbangi kemudahubahan yang tinggi yang berkaitan dengan komoditi tersebut dengan yang mempunyai prestasi yang stabil. Pelabur boleh juga memanfatkan kelebihan alatan kewangan tertentu seperti niagaan ke depan dan pilihan. Kedua-duanya mempunyai risiko yang tertentu daripada pembelian permulaan hinggalah penjualan.

Walaupun setiap komoditi mempunyai kadar pertumbuhan yang berbeza, secara keseluruhannya hal ini juga tertakluk kepada kitaran “bull” dan “bear” seperti juga pasaran saham. Kitaran itu, bukan sahaja disebabkan oleh kuasa pasaran permintaan dan penawaran, tetapi juga melibatkan hasil polisi tertentu kerajaan yang berkaitan dengan pergerakan dan penilaian mata wang. Sesetengah ahli ekonomi menyarankan bahawa kitaran ini dijanakan oleh ekonomi itu sendiri, bukan disebabkan oleh kuasa permintaan dan penawaran.

Teori kitaran Kondratieff misalnya, cuba menerangkan bagaimana kompleksnya ekonomi global yang mengalami kitaran jangka panjang dengan siri melambung (boom) dan menguncup (bust). Komoditi adalah sebahagian daripada kitaran Kondratieff ini yang menjejaki arah aliran global yang meleset.

Apabila kebanyakan komoditi mengalami aliran yang menurun, keadaan ini selalunya menandakan kemunculan kemelesetan kewangan dunia. Sama ada kitaran Kondratieff ini boleh disingkatkan ataupun tidak, untuk mencerminkan pengaruh teknologi, kitaran ini berguna bagi membantu pembuat dasar untuk melakukan tindakan pembetulan atau melakukan tindakan pembetulan atau pencegahan sebelum kemelesetan yagn teruk berlaku. Kajian tentang arah aliran dan nilai komoditi dapat membantu pembuat dasar untuk merangka polisi yang sesuai.

Bagi mereka yang berminat untuk melabur dalam komoditi, terdapat pilihan untuk melakukannya melalui dalam talian. Terdapat beberapa platform yang berbeza yang membolehkan pelabur melabur dalam pilihan dan niagaan ke depan. Mereka juga dinasihatkan supaya mencuba atau berlatih dahulu untuk mengetahui cara keuntungan boleh didapati atau kerugian dialami sebelum melabur dengan tunai sebenar.

Selain melabur dalam komoditi sebenar, pelaburan dalam indeks juga merupakan alternatif. Hal ini memerlukan pelabur mengandaikan kemungkinan turun naik dalam harga komoditi pada jangka masa yang tertentu. Turun naik harga dalam jangka masa tersebut mungkin berlaku atau mungkin juga tidak berlaku. Oleh sebab indeks komoditi mempunyai pengaruh ke atas harga sebenar komoditi, timbul anggapan bahawa hal ini menyebabkan turun naik harga yang tidak sepatuanya yang tidak disokong oleh fundamental komoditi tersebut.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak seharusnya menghalang pelabur daripada melibatkan diri dalam pasaran. Pelabur boleh memilih indeks komoditi yang mempunyai rekod yagn kukuh dan membeli pilihan atau niagaan ke depan tentang prestasi pasaran yang dijangkakan oleh mereka.

Pelaburan dalam indeks komoditi biasanya menghasilkan kadar pulangan yang lebih tinggi kerana indeks telah distrukturkan untuk mengimbangi kesan peningkatan dan penurunan pasaran. Cara ini juga dipilih sebagai langkah mempelbagaikan portfolio pelaburan kerana memudahkan, tanpa perlu menyelidik prestasi komoditi tertentu.

Di samping itu, pelaburan ini juga melindungi pelabur daripada inflasi yang memberikan kesan ke atas pelaburan dalam saham, bon, dan pelaburan tradisional yang lain. Bagi memilih indeks komoditi yang sesuai untuk dilabur, pelabur harus memilih indeks yang telah lama berada di pasaran untuk memastikan pulangan yang memuaskan dan melindungi daripada kesan inflasi.

Sementara itu, apakah pula niagaan ke depan dan pilihan? Niagaan ke depan ialah tarikah penjualan yang telah disetujui bagi komoditi dan masa yang tertentu. Pilihan menyerupai kontrak niagaan ke depan kecuali pembeil tidak perlu mematuhi terma perjanjian asal jika dia memilih untuk berbuat demikian.

Niagaan ke depan lebih berisiko daripada pilihan niagaan ke depan memerlukan tindakan, manakala pilihan membolehkan pelabur menyesuaikannya dengan perkembangan pasaran. Lebih tinggi risiko yang terlibat, maka lebih tinggi juga jangkaan keuntungan yang bakal diperoleh dan begitulah sebaliknya.

Pembelian pilihan melibatkan premium, iaitu fi yang dikenakan oleh peniaga untuk menguruskan transaksi tersebut yang bergantung pada unsur risiko. Transaksi yang dijangka menguntungkan mempunyai premium yang tinggi dan begitulah sebaliknya. Pilihan selalunya dikelaskan sebagai “calls” dan “puts”.

Pilihan bagi “calls” membayangkan bahawa pelabur mempercayai yang komoditi tertentu akan mengalami kenaikan harga dalam jangka masa tertentu. Pilihan “puts” pula adalah sebaliknya. Harga ditetapkan semasa pembelian kedua pilihan tersebut. Pelabur boleh membuat pilihan untuk menunaikan pilihan itu atau menukarnya mengikut perkembangan pasaran. Kebanyakan pelabur memilih untuk menukarkannya.

Niagaan ke depan sebaliknya pula tidak anjal. Kedua-dua pembeli dan penjual perlu menunaikan perjanjian dengan membekalkan komoditi pada harga yang telah disetujui tanpa mengira perubahan dalam pasaran. Sebagai contoh, jika seguni gandum telah disetujui dengan harga RM5, dalam tempoh satu tahun terma itu, harga tidak boleh ditukar sehingga kontrak tersebut dipenuhi. Hal ini dikenali sebagai kedudukan “short” dan kedudukan “long”.

Kedudukan “short” dipegang oleh pembekal komoditi dan kedudukan “long” dipegang oleh penerima komoditi. Kontrak niagaan ke depan dinilai berdasakan prestasi sebenar komoditi itu di pasaran dan selalunya penyelesaian dibuat dengan tunai pada setiap hari perniagaan dijalankan. Sebagai contoh, jika kedudukan “short” bersetuju membekalkan gandum pada harga RM5 seguni, tetapi harga pasaran meningkat kepada RM6 seguni, kedudukan “short” kerugian sebanyak RM1 setiap guni, manakala kedudukan “long” pula dapat menjimatkan RM1 setiap guni.

Walau bagaimanapun, kebanyakan kontrak niagaan ke depan tidak melibatkan penghantaran komoditi secara fizikal, tetapi lebih merupakan transaksi kewangan. Kebanyakan komoditi yang bergantung pada kedudukan yang diambil oleh pelabur dan prestasi sebenar komoditi tersebut di pasaran, dapat memberikan sumber keuntungan.

Bagaimanakah caranya untuk memulakan pelaburan dalam komoditi?

Pilihlah komoditi yang menarik

Komoditi dipengaruhi faktor ekonomi, politik, dan sebagainya. Komoditi yang dirasakan paling stabil pun mengalami turun naik harga. Cara untuk memahami dan mengikuti perkembangan ini adalah dengan melibatkan diri sepenuhnya. Dengan memilih komoditi yang menarik pelabur mempunyai motivasi yang tinggi untuk mengikuti perkembangan yang akan memberikan kesan terhadap komoditi tersebut.

Daftarlah dengan broker yang berlesen dan bergabung

Pandaftaran ini perlu. Setiap bursa komoditi memerlukan setiap peniaga menjadi ahli atau bergabung dengan anggota Commodity Futures Trading Commission.

Bersedia untuk mengalami kerugian dalam pelaburan pertama

Bagi mereka yang melabur untuk kali pertama bersedialah untuk mengalami kerugian. Pengalaman tersebut akan memberikan pengajaran dan membuatkan kita lebih berhati-hati dalam memilih pelaburan.

Setelah pengalaman diperoleh, laburlah dalam indeks komoditi

Setelah selok-belok perniagaan komoditi difahami, pelabur boleh memulakan pelaburan dalam indeks komoditi untuk mendapatkan pulangan yuang lebih baik.

Kitaran “bull” dan “bear” dalam komoditi biasanya berlaku dalam jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa komoditi utama yang memberikan petunjuk akan arah aliran pasaran komoditi secara keseluruhannya.

Harga emas dan perak biasanya menjadi petanda tentang arah aliran pasaran komoditi. Begitu juga dengan harga minyak yang mempunyai pengaruh terhadap pasaran komoditi. Jika satu daripada komoditi tersebut mengalami perubahan yang mendadak, pelabur haruslah bersedia untuk mengalami perubahan yang besar dlam pasaran komoditi. Pelabur yang bijak tidak akan mengetepikan faktor ini untuk memastikan pelaburannya terjamin dan selamat.

 

ABDUL RAHIM AZIZ