Industri kecil dan sederhana (IKS) melibatkan perusahaan perkilangan yang menyediakan perkhidmatan sokongan yang berkaitan dengan perkilangan dengan jumlah jualan tahunan tidak melebihi RM25 juta dan jumlah tenaga kerja tidak melebihi 150 orang. Sumbangan IKS terhadap penggunaan tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi negara memang tidak dapat dinafikan.

Oleh hal yang demikian, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta badan yang khusus ditubuhkan berusaha keras untuk membangunkan sektor ini dengan pelbagai kemudahan bagi memastikan sektor ini terus menjanakan ekonomi negara. Antaranya kemudahan yang disediakan termasuklah menyediakan pembiayaan, khidmat nasihat dari segi pemasaran dan produk, di samping menyediakan premis perniagaan. SME Corporation dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) adalah antara peneraju penting yang diamanahkan untuk membangunkan sektor ini.

Bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah dan IKS tidak terkecuali dalam mendepani cabaran yang banyak yang perlu dihadapi bagi menjamin kelangsungan sesebuah identiti perniagaan. Antara cabaran yang dihadapi termasuklah mendepani pasaran tempatan yang terhad.

Jumlah penduduk sebanyak 26 juta orang bagi pasaran di negara ini dilihat agak terhad untuk menjamin kelangsungan IKS. Hal ini ditambah lagi dengan bilangan IKS yang banyak yang menyebabkan persaingan antaranya amat sengit. Pilihan yang ada bagi pemain dalam sektor IKS adalah dengan meneroka pasaran global dan bersaing di persada antarabangsa yang memerlukan kualiti produk yang setanding, kecekapan dalam pemasaran dan pembiayaan yang besar.

Dalam menangani hal ini, pengalaman IKS di Sweden dapat dijadikan contoh. Dengan jumlah penduduk Sweden hanya sembilan juta orang, IKS di sana tidak mempunyai pilihan selain meneroka pasaran Eropah dan global. Pada masa yagn sama, kerajaan Sweden memainkan peranan yang utama dengan penubuhan Swedish Trade Council yang menyokong dan membantu IKS di negara itu meneroka pasaran global.

Sementara itu, selain cabaran pasaran yang terhad, faktor globalisasi merupakan satu lagi cabaran yang nyata yang tidak dapat diketepikan oleh pemain IKS tempatan. Biasanya, syarikat gergasi multinasional akan menggunakan syarikat tempatan bagi membekalkan produk sokongan mereka dan menuntut kualiti yang tinggi serta keupayaan bekalan yang berterusan. Hal ini merupakan cabaran bagi IKS di dalam negara untuk memenuhi keperluan tersebut.

Di samping itu, isu persekitaran juga mempengaruhi syarikat multinasional ini dalam memilih pembekal mereka. Oleh hal yang demikian, produk yang mesra alam dan berteraskan “teknologi hijau” tidak boleh dipandang ringan oleh IKS tempatan bagi membolehkan mereka terus bersaing. Antara keperluan yang amat ditekankan oleh syarikat multinasional ini ialah amalan perniagaan yang beretika.

Dalam hal ini, IKS tempatan dituntut untuk mengamalkan tanggungjawab korporat yang baik yang merangkumi usaha meminimumkan impak negatif terhadap operasi perniagaan, seperti pencemaran, keselamatan dan kebajikan pekerja, keselamatan produk dan rasuah. Sebagai contoh, syarikat Mattel, pengilang mainan kanak-kanak, mempelajari pengajaran yang berguna apabila produknya gagal melepasi piawaian minimum ujian kesihatan dan keselamatan produk Amerika Syarikat aibat daripada kecuaian pembekalnya.

Sehubungan dengan hal itu, aspek cabaran untuk meningkatkan daya saing dalam kalangan pemain IKS tidak boleh dipandang ringan juga. Untuk bersaing di pasaran global, peningkatan dalam daya saing amat diperlukan. Hal ini berkaitan dengan kualiti produk dan pengurangan dalam kos pembuatan. Berkaitan dengan hal ini juga, penggunaan dan penguasaan teknologi maklumat dalam proses pembuatan dan pengurusan harus diberikan penekanan.

IKS tempatan perlu meningkatkan penggunaan teknologi maklumat bagi membolehkan mereka meneroka dan bersaing secara sama tara di pasaran global. Walaupun kos penggunaan teknologi maklumat tidaklah murah, tambahan pula untuk mendapat kakitangan yang terlatih di bidang ini agak sukar, sektor IKS perlu menyedari bahawa hal ni merupakan pelaburan yang tidak boleh dielakkan.

Statistik menunjukkan hanya 25.6 peratus produk perkilangan IKS Malaysia yang dieksport. Selain faktor luaran, kadar yang rendah ini adalah berkaitan dengan set minda syarikat IKS itu sendiri. Apabila ditanya punca mereka tidak mengeksport produk, antara jawapan lazim yang sering diberikan termasuklah faktor perniagaan yang kecil, maka kurang untuk menembusi pasaran antarabangsa; tidak dapat meneroka pasaran global; atau ingin berjaya di Malaysia dahulu sebelum memasuki pasaran antarabangsa.

Walaupun kerajaan dan badan yang berkaitan berusaha gigih menggalakkan IKS tempatan meneroka pasaran global, bilangan IKS yang berbuat demikian amat kecil. Oleh hal yang demikian, mereka perlu melakukan anjakan set minda, melakukan inovasi, leverej pembangunan teknologi dan adaptasi model perniagaan yang baharu. Hanya dengan mengambil langkah tersebut mereka akan dapat meningkatkan daya saing dan berpeluang meraih faedah daripada arus globalisasi.

Sehubungan dengan hal ini, apakah set minda yang perlu diubah? Antara yang penting termasuklah bersedia untuk mempelajari perkara baharu. Daya saing bermula dengan keupayaan untuk mempelajari sesuatu yang baharu.  Pembelajaran dapat mempengaruhi cara seseorang untuk berfikir dan mengubah sikap mereka dalam menangani sesuatu perkara.

Penggerak IKS ialah pengasas atau pemiliknya yang memainkan peranan yang penting dalam menentukan daya saing perniagaan. Mereka bukan sahaja perlu mempamerkan kepimpinan melalui teladan dan sentiasa mempelajari ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu dari pakar industri, bahkan mereka perlu juga menghargai bahawa aspek latihan kakitangan ialah keputusan strategik dan bukan hanya keputusan ad hoc.

Pemimpin dan kakitangan seharusnya menganggap bahawa aspek pembelajaran merupakan proses sepanjang hayat untuk meningkatkan daya saing yang terhasil daripada arus globalisasi. Pembelajaran yang berterusan akan mendedahkan kakitangan kepada konsep dan pendekatan baharu yang akan mengukuhkan teras kecekapan perniagaan. Pembelajaran bukan sahaja harus juga dilihat berkaitan dengan pendidikan, tetapi juga dilihat sebagai peluang untuk membina jaringan perniagaan yang merupakan unsur penting yang menjamin kejayaan sesuatu perniagaan.

Selain itu, aspek memberikan perhatian terhadap pemasaran yang tidak hanya tertumpu pada produk semata-mata, harus juga dilihat secara lebih mendalam. Lazimnya, setiap IKS mempunyai kepakaran dalam menghasilkan produk yang berkualiti. Malangnya, kebanyakan pemain dalam industri lemah dari segi pemasaran, walaupun mempunyai produk yang bermutu.

Oleh hal yang demikian, apa-apa yang perlu ditekankan juga ialah produk yang berkualiti tersebut dapat diedarkan secara inovatif kepada pengguna yang disasarkan melalui saluran yang berkesan pada harga yang berpatutan. Pembungkusan dan pelabelan perlu juga mempunyai kualiti yang tinggi untuk menembusi pasaran global. Hal ini memerlukan kerjasama setiap pekerja dari segi delegasi atau kerja berpasukan bagi memastikan kejayaan syarikat.

Satu lagi aspek yang memerlukan anjakan set minda dalam kalangan pemain IKS ialah kecenderungan untuk mengelak daripada membayar cukai korporat. Kebanyakan IKS mempunyai kepakaran dalam pengurusan kewangan, malangnya kepakaran itu kadang-kadang disalahgunakan dalam cubaan untuk mengelak daripada membayar cukai melalui perakaunan yang kreatif.

Hal ini merupakan set minda yang salah dan tidak mungkin dapat bertahan serta boleh menjelaskan pertumbuhan perniagaan dan perkembangannya di peringkat global. Sepatutnya IKS patuh kepada peraturan dan membayar cukai yang berpatutan dengan mengambil faedah daripada insentif, geran dan kemudahan potongan cukai berganda yang ditawarkan oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, banyak IKS di negara ini yang beroperasi di premis yang tidak sesuai yang diperuntukkan bagi premis perniagaan semata-mata untuk kemudahan mereka dan mengelakkan kerumitan untuk mendapatkan premis yang sesuai. Perkara ini dilihat berlanjutan hampir 20 tahun. Hal ini bukan sahaja menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapatkan skim bantuan daripada kerajaan, bahkan menjadi kekangan untuk mengembangkan pernigaan mereka sendiri. Sudah pasti keadaan ini perlu diubah demi manfaat sektor IKS.

IKS yang melakukan kesilapan sedemikian perlu mengubah lokasi ke premis yang telah ditetapkan, di samping berusaha mendapatkan lesen yang sah, membeli aset yang berupaya menambah keupayaan mereka dan sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.

Sementara itu, banyak daripada kalangan syarikat yang didakwa kerana kesalahan melanggar hak milik intelek seperti menggunakan perisian cetak rompak. Walaupun terdapat pemain IKS yang menyedari kepentingan menggunakan teknologi maklumat dalam operasi syarikat, masih menggunakan perisian cetak rompak.

Berkaitan dengan itu ini, set minda memainkan peranannya. IKS tidak sepatutnya mencabar sistem perundangan dan perlu menghormati hak milik intelek. Dalam hal ini, kerajaan memainkan peranan penting bagi mendapatkan diskaun khas bagi perisian yang biasa digunakan dalam kebanyakan operasi syarikat dalam sektor IKS di Malaysia. Dengan jumlah IKS yang banyak, kerajaan dapat merundingkan harga yang berpatutan dan mampu dibayar oleh kebanyakan IKS.

IKS perlu memahami kelebihan sumber luar dalam penggunaan teknologi maklumat mereka. Dengan anggapan bahawa membina perisian sendiri menjimatkan wang dan menyebabkan mereka lebih cenderung ke arah itu, hakikatnya hanya akan menggugat perlaksanaan operasi syarikat, di samping memberikan risiko peningkatan kos. Hal ini merupakan set minda yang perlu diubah.

Dalam usaha mendapatkan kelancaran perniagaan dan meningkatkan daya saing, mereka perlu melihat sumber luar sebagai aktiviti yang mempunyai nilai tambah. Sumber luar membolehkan mereka mengekalkan fokus yang strategik dan menyelia sistem teknologi maklumat dengan berkesan. Selain itu, hal ini dapat mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan.

Faktor terlalu bergantung pada kerajaan juga merupakan aspek yang memerlukan anjakan set minda bagi membolehkan IKS bersaing di pasaran global. Walaupun kerajaan banyak menyediakan kemudahan dari segi pembiayaan dan khidmat nasihat, setelah IKS berjaya dan mampu berdiri sendiri, mereka perlu membebaskan diri daripada terlalu bergantung pada kerajaan.

Kejayaaan dalam perniagaan, apatah lagi di persada antarabangsa, menuntut usaha gigih dan kecekalan. Hanya mereka yang mempunyai sifat tersebut akan berjaya. Ahli psikologi Amerika Syarikat yang terkenal, William James, pernah menyarankan, “Jika kita dapat mengubah set minda, kita akan berhasil mengubah kehidupan kita.” Saranan tersebut juga releven untuk dunia perniagaan, terutama bagi pemain dalam sektor IKS.