PTE Peranan Sektor Swasta

ANTARA kesan globalisasi ialah pertandingan yang sengit antara negara untuk mendapatkan pasaran eksport dan pelaburan asing. Dengan ekonomi global yang mencecah AS$44 trilion kini dan perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi dan infrastuktur, pertandingan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi dengan keupayaan negara seperti  China, Vietnam, malah Kemboja juga, menarik dana pelaburan asing yang semakin berkurangan di negara masing-masing.

Dengan menyedari hakikat tersebut, kerajaan Malaysia merangka Program Transformasi Ekonomi (PTE) sebagai antara langkah dalam perancangan jangka panjang untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020. Langkah ini tepat dan berani dengan pendekatan yang radikal yang melibatkan penyertaan yang banyak melalui makmal yang membolehkan peserta memberikan saranan dan maklum balas. Pendekatan ini menyimpang daripada pendekatan terdahulu yang lebih bercorak “town-down”.

Keperluan terhadap transformasi ekonomi ini begitu mendesak kerana negara telah lama terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana, manakala beberapa buah negara yang setara perkembangan ekonominya dengan Malaysia pada dua dekad yang lalu, sudah melangkah jauh ke hadapan.

Dengan pelaksanaan PTE ini dijangka pendapatan per kapita kita akan mencecah paras RM48 ribu (AS$15 ribu) untuk melayakkan Malaysia mencapai status negara maju dan sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan menjelang tahun 2020.

Yang menariknya, 60 peratus daripada pekerjaan baharu yang diwujudkan nanti kategori berpendapatan sederhana dan tinggi.

PTE mendedahkan rakyat negara ini kepada singkatan seperti NKEA, NKRA, SRI dan EPP melalui kenyataan rasmi kerajaan. NKEA atau Bidang Ekonomi Utama Negara ialah sektor ekonomi yang berpotensi yang akan memacu pertumbuhan yang pesat dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.

Sebanyak 12 NKEA dikenal pasti hasil daripada perundingan antara pihak swasta dengan sektor awam. Lebih daripada 1000 peserta terlibat dalam proses awal mengenal pasti sektor tersebut. Fokus kepada NKEA ini akan memastikan projek yang berimpak tinggi yang disokong dengan polisi dan galakan daripada kerajaan secara kolektif bagi menyumbangkan matlamat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Kelompok 12 NKEA in meliputi 11 industri dan sebuah pusat wilayah. Industri yang terlibat ialah gas, minyak dan tenaga, kelapa sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektronik dan elektrik, perniagaan borong dan runcit, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, komunikasi dan infrastruktur, pertanian serta pembangunan sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Pertumbuhan ekonomi yang terhasil daripada NKEA melalui pelaksanaan 131 Pelaksanaan Projek Permulaan (EPP) dan 60 peluang perniagaan akan menyebabkan ekonomi Malaysia mengalami perubahan yang drastik seperti ekonom dengara maju. Jika dapat diibaratkan NKEA sebagai enjin pertumbuhan, EPP merupakan palam pencucuh yang akan merangsang enjin tersebut ke mercu pencapaian yang lebih tinggi dan dipanggil EPP kerana projek tersebut yang berimpak tinggi, menjadi pencetus kepada permulaan program NKEA.

Hal ini melibatkan pelaburan dalam infrastuktur berskala besar, manakala yang lain pula mempunyai kesan langsung atas keluaran sektor tertentu. Setakat ini, 18 diterajui oleh sektor swasta. Fungsi setiap EPP sudah dilancarkaan dan kebanyakannya diterajui oleh sektor swasta. Fungsi setiap EPP diperjelas dalam PTE. Contohnya, pembangunan di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang mempunyai sembilan EPP yang akan memastikan kedinamikan ekonomi, di samping menjadikan Kuala Lumpur antara bandar raya yang selesa untuk didiami menjelang tahun 2020.

Menurut Dato’ Seri Idris Jala, Ketua Eksekutif Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan), mengikut pemikiran semasa bandar raya bertanding lebih hebat daripada negara. Jika bandar raya menyerlah dan dikenal, negara akan mendapat limpahan daripada perkembangannya. Oleh itu, amat penting jika Kuala Lumpur dapat lebih menyerlah.  Dari segi keselesaan antara bandar raya, kini Kuala Lumpur menduduki tempat yang ke-79. Melalui PTE, dijangkakan kedudukan Kuala Lumpur akan meningkat di kedudukan yang ke-20 menjelang tahun 2020.

PTE berorentasikan tindakan dengan projek yang telah dikenal pasti berserta jadual dan jangka masa serta fokus untuk melonjakkan Malaysia kepada status negara berpendapatan tinggi. Daripada sejumlah RM1.4 trilion pelaburan yang diperlukan bagi membiayai 131 EPP, 92 peratus adalah daripada sektor swasta dan hanya lapan peratus daripada sektor awam.

Menerusi bahagian sektor swasta, 73 peratus direncanakan datangnya daripada pelaburan langsung domestik (IDD), manakala 27 peratus pula berdasarkan pelaburan langsung asing (FDI). Pelaburan langsung asing ini meliputi pelaburan daripada entiti perniagaan asing, misalnya syarikat multinasional membina logi pembuatan di Malaysia, manakala IDD ialah pelaburan oleh entiti perniagaan tempatan dalam pasaran domestik.

Penambahbaikan dalam persekitaran perniagaan ialah langkah yang penting untuk mencapai peningkatan dalam pelaburan, baik daripada pelabur asing mahupun pelabur tempatan. Kerajaan memainkan peranan yang penting sebagai mangkin untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk perniagaan bercambah termasuk liberalisasi sektor tertentu, mengkaji semula peraturan dan dasar, serta menyelaraskan dan memudahkan hubungan antara sektor awam dengan sektor perniagaan.

PTE bertepatan dengan namanya iaitu program dan bukannya rancangan. Rancangan memuatkan tujuan atau rangka tindakan dan merupakan dokumen strategi, manakala program mengandungi projek yang khusus dan tidakan dengan pemilik projek, sasaran dan jadual masa yang ditetapkan. Sektor swasta terlibat dalam PTE pada setiap fasa pembangunannya daripada Bengkel 1000 Orang kepada Makmal NKEA dan dipertanggungjawabkan dengan projek.

Pencapaian diukur daripada impak kepada Pendapatan Kasar Negara (PKN) bagi membolehkan kemajuan dapat dikukur dengan tepat. EPP dipilih sebagai mangkin bagi mengubah perenggu minda (mindset) daripada “kerja seperti biasa” kepada penambahan lagi pelaburan yang memungkinkan kesan berganda kepada seluruh industri.

Sejak pelancaran PTE, 37 projek dilancarkan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM80 bilion dengan kesan ke atas PKN berjumlah RM117 bilion apabila dilaksanakan sepenuhnya. Projek tersebut akan mewujudkan 136 ribu peluang pekerjaan dalam tempoh pembinaan dan operasi projek.

Dengan jumlah pelaburan swasta yang tinggi, mungkin timbul suara sinis yang tidak berkeyakinan bahawa jumlah tersebut dapat dicapai. Hal ini ditambah lagi dengan faktor ketandusan pelaburan asing belakangan ini dan jumlah besar pelaburan domestik yang mencari peluang pernigaan di luar negara. Kebimbangan tersebut walaupun berasas, tidak perlu digusarkan. Hal ini dikatakan demikian kerana projek yang terkandung dalam NKEA mempunyai potensi keuntungan yang tinggi dan mempunyai nilai tambahan.

Keadaan ini tentunya menarik dana pelaburan yang sifatnya memang “mudah alih” yang sentiasa mencari peluang perniagaan yang menguntungkan. Hal ini ditambah lagi dengan iltizam kerajaan untuk mewujudkan suasana pelaburan yang selesa. Bagi meningkatkan keyakinan sektor swasta, kerajaan telah meletakkan asas dalam ekonomi dan menyasarkan liberalisasi segera dalam sektor tertentu bermula dengan 12 NKEA.

Dalam langkah untuk menyuntik keyakinan sektor swasta, kerajaan juga komited untuk mengurangkan rasuah. Antara dasar yang disarankan termasuk merombak amalan tadbir urus sektor awam dengan menubuhkan sistem pengawasan pematuhan dan pelaksanaan inisiatif untuk membanteras rasuah.

Walaupun PTE menampakkan peranan kecil daripada sektor awam, sebenarnya peranan kerajaan amat penting. Hal ini dijelaskan dalam buku How Countries Compete: Strategy, Structure and Goverment in the Global Economy karya Richard H.K Vietor. Buku ini menjelaskan peranan kerajaan terutamanya dalam merangka dasar dan memantapkan struktur bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan memberikan contoh beberapa buah negara seperti China, Singapura dan Jepun.

Kejayaan PTE bergantung pada empat teras utama. Yang pertama melibatkan pembentukan budaya yang inovatif dan kreatif. Untuk menyuburkannya, budaya ini memerlukan ekosistem yang memupuk dan merangsangkan perusahaan swasta serta berani mengambil risiko yang menggalakkan pertandingan dan peraturan yang memudahkannya.

Yang kedua ialah bekalan tenaga kerja yang berkualiti yang diasuh dalam suasana kerja yang sesuai. Dalam hal ini, Perbadanan Bakat yang baru ditubuhkan dapat memainkan peranannya. Yang ketiga memerlukan transformasi dalam sistem penyampaian kerajaan. Hak ini memerlukan sokongan dan galakan kerajaan terhadap inisiatif swasta. Peranan kerajaan dilihat sebagai “memudahkan” dan bukannnya saingan kepada sektor swasta. Hanya perkhidmatan awam yang berkualiti diterap dengan disiplin fiskal dapat menghasilkan sistem penyampaian tersebut.

Yang keempat adalah menangani isu tadbir urus yang baik dan mengurangi ketirisan akibat rasuah. Hal ini amat kritikal bagi penyatuan sosial dan pengagihan yang saksama hasil daripda pertumbuhan ekonomi kerana tanpa pertumbuhan yang pesat, tidak banyak yang dapat diagihkan.

Apa-apa yang nyata, PTE menyerlahkan beberapa ciri bagi transformasi yang berkesan. Pertama, PTE fokus terhadap keutamaan. Oleh sebab sumber yang amat terhad, maka perlu untuk memfokuskannya kepada bidang yang mempunyai potensi yang besar, iaitu kita mempunyai kelebihan daya saing. Dalam konteks ini, PTE membuat keputusan untuk mengagihkan sumber dari segi dana, masa dan tumpuan kepada 12 NKEA.

Kedua ialah kerjasama yang erat antara sektor awam dengan swasta. Dalam sebarang usaha transformasi, pemegang hak harus beranggungjawab untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan. Dalam PTE kerjasama antara sektor awam dengan swasta dimantapkan dalam pelaksanaan dan pembiayaan, iaitu sektor swasta dipertanggungjawabkan untuk memimpin dan menyumbangkan 92 peratus daripada pembiayaan.

Ketiga ialah sasaran matlamat dijadikan paksi dalam membuat keputusan. Sebarang transformasi tidak berjaya tanpa matlamat dan sasaran yang jelas. Dalam PTE, sasaran pendapatan per kapita RM48 ribu, peluang pekerjaan baharu sebanyak 3.3 juta dan matlamat pelaburan swasta adalah jelas.

Keempat, menjadikan projek sebagai mangkin yang akan menghasilkan reaksi berantai dan kesan berganda dan menjadi agen perubahan. Misalnya Mass Rapid Transit (MRT) yang dicadangkan, bukan sahaja akan menyelesaikan masalah lalu lintas, tetapi juga akan menjadikan persekitaran di luar bandar raya lebih selesa untuk didiami dan hal ini akan menarik lebih banyak pelaburan domestik dan pelaburan asing.

PTE merupakan langkah yang realistik dan berdaya maju dengan sektor swasta diberikan peranan yang utama. Dengan pendekatan yang radikal dan pragmatik serta komitmen yang padu daripada kerajaan, harapan Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 dengan faedah yagn nyata untuk rakyat terbanyak, bukanlah hanya impian yang kosong.

Abdul Rahim Abd Aziz
Dewan Ekonomi Mac 2011