Filem Sebagai Perniagaan

KEPENTINGAN filem sebagai perniagaan dapat dilihat berdasarkan jumlah kutipan tiket global mencecah paras AS$29.9 bilion (RM92.69 bilion) pada tahun 2009, iaitu peningkatan sebanyak 7.6 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Pola yang ketara dalam industry kreatif ini menunjukkan pertambahan tayangan layar bersesuaian dengan peningkatan dalam pembuatan filem bercorak ini untuk memenuhi selera penonton yang semakin tinggi.

Seperti entiti perniagaan yang lain, industri filem turut mengambil kira cita rasa pengguna untuk terus berkembang dan relevan dengan kehendak semasa. Jika dilihat senarai filem yang bersaya meraih jumlah kutipan tiket terbanyak seperti dalam Jadual 1 membayangkan kecenderungan pengguna semasa menjadi faktor penting merangsang penjanaan pendapatan industri kreatif.

Daripada senarai 10 buah filem dalam Jadual 1, ternyata filem genre fantasi dan pengembaraan menguasai pasaran. Pengeluar filem yang Berjaya akan mengeksploitasi genre ini dengan plot cerita yang menarik di samping penggunaan teknologi canggih untuk memberikan kesan khas kepada audiens. Tidak hairanlah jangka masa untuk mengeluarkan filem yang sedemikian mengambil masa yang lama, umpamanya filem Lord of the Rings mengambil masa selama tujuh tahun untuk menerbitkannya.

Ketelitian dan kesabaran pengeluarannya ternyata berbaloi kerana tiga siri filem Lord of the Rings menduduki 20 senarai teratas dalam pecah panggung. Terdapat kecenderungan untuk mengadaptasi buku yang terlaris jualannya untuk dijadikan filem. Buku J.K.Rowling, siri Harry Porter misalnya yang difilemkan mengambil lima tempat dalam 20 senarai teratas filem yang paling laris. Di samping itu dagangan yang terhasil sebagai produk sambingan filem mampu menjana perniagaan yang lumayan. Dagangan daripada filem Star Wars dan Lord of the Rings meraih jualan ratusan juta Dolar.

Sebagai entiti perniagaan, pengusaha filem juga mendapat pulangan yang lumayan daripada jumlah dana yang dilaburkan. Senarai dalam Jadual 2 berbanding dengan jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan untuk filem tersebut dari tahun 1990 hingga kini.

Jadual 1

Senarai filem yang mencatatkan kutipan tiket terbanyak

Jadual 2 menunjukkan pulangan industri filem yang mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan malah ada pulangannya yang melebihi 100 peratus. Hal ini mendorong banyak pengusaha filem menyertai industri ini terutamanya pengusaha tempatan. Namun menceburi bidang ini bukanlah semudah yang disangka. Tanpa bakat, peralatan yang cukup, plot cerita yang menarik, filem yang dihasilkan akan menemui kegagalan di pawagam dan pengusaha terpaksa gulung tikar.

Jadual 2

Jumlah kutipan tiket berbanding dengan jumlah perbelanjaan filem (1990-kini)

 

Hal ini memberikan kesan yang mendalam kepada penerbit filem tempatan. Maka, industri filem harus dilihat dari sudut perniagaan iaitu modal perniagaan yang mencukupi, unjuran kutipan tiket yang munasabah, memahami cita rasa penonton, plot cerita yang menarik dan penggunaan teknologi serta banyak perkara yang berkaitan yang tidak boleh dipandang remeh. Berbanding dengan industri filem di Barat, industri filem menjadi komoditi yang tersebar luas ke seluruh Negara diikuti oleh industri sokongan yang turut berkembang.

Filem turut mempengaruhi dan memberi kesan kepada tatacara perniagaan dan pelakuan ahli perniagaan. Filem Wall Street yang dikeluarkan oleh Oliver Stone kira-kira 20 tahun lalu memberi gambaran tentang kecelaruan industri kewangan Amerika ketika itu. Watak Gordon Gekko menyarankan yang “Greed is good” (tamak itu bagus) manakala watak heronya, Bud Fox menyedari sebaliknya walaupun terlambat dan kedua-duanya meringkuk di dalam penjara. Filem ini yang Berjaya memenangi Academy Award membawa mesej yang berbeza kepada golongan bukan sasaran. Bagi mereka yang bekerja di Wall Street, mereka yang baru meningkat naik sebagai pegawai bank, peniaga dan pengurus dana lindungan nilai, Gekko dijadikan sebagai watak hero ikutan yang baik.

Berbeza daripada mereka yang mempunyai  pengalaman yang luas dalam bidang kewangan tidak melihat watak Gekko seperti yang berlaku di Wall Street. Namun begitu, banyak pemerhati pasaran menganggap “ketamakan” sebenarnya dipamerkan oleh industri kewangan sejak 20 tahun lalu. Beberapa skandal dan krisis yang berleluasa di Wall Street daripada Saving and Loan, Long Term Capital Management, dot.com Bubble sehinggalah krisis subprime – semuanya menonjolkan unsur ketamakan. Hal ini memberi kesan persepsi dan kepercayaan awam terhadap sektor perniagaan yang semakin merudum.

Dalam kajian terbaharu Pew Research Center mendapati bahawa sebanyak 69 peratus responden melihat bank dan institusi kewangan dengan pandangan negatif manakala 64 peratus responden mempunyai pandangan yang sama terhadap syarikat yang besar. Di tengah-tengah persepsi ini, Oliver Stone menerbitkan sambungan cerita Wall Street yang didukung oleh watak utamanya, Michael Douglas. Gekko yang baru keluar dari penjara berpasangan dengan tunang anak perempuannya kembali menbambil peluang daripada kecelaruan yang ditimbulkan oleh kegawatan ekonomi dengan memanipulasi pasaran.

Dalam Wall Street yang pertama, Gekko membawa watak jahat kerana beliau menggunakan “pembelian pengaruh” (leverage buyout) untuk memecahkan syarikat dan memusnahkan pekerjaan di samping memperoleh keuntungan dariapda urus niaga dalaman. Dalam Wall Street kedua, beliau menggunakan kepintarannya untuk mengatasi sistem dan melakukan jualan singkat untuk menjual syarikat sebelum sahamnya merudum. Sementara itu, bakal menantunya memanipulasikan pasaran dengan menyebarkan khabar angin.

Penerbitan filem ini menimbulkan dua persoalan penting. Adakah industri kewangan akan menerima saranan Stone sekarang? Kedua, adakah pemimpin korporat menyedari “penyimpangan fakta” daripada keadaan sebenarnya yang ditonjolkan oleh filem tersebut. Namun, audiens menganggap filem tersebut adalah seperti kisah benar. Sama ada kisah itu berbentuk fiksyen (Wall Street, Up in the Air, Michael Clayton) kisah benar yang dijadikan fiksyen (Erin Brockovich, The Insider) atau dokumentari (Roger and Me, Food Inc), filem Hollywood Berjaya menanam persepsi negatif terhadap dunia perniagaan kepada masyarakat.

Seperti yang dilakonkan oleh Gekko sikap ini sebenarnya diunjurkan oleh guru pengurusan, iaitu keupayaan mengesan dan mengambil peluang yang ada, tetapi terdapat tanggapan yang berbeza tentang hal itu. Terdapat perbezaan yang besar antara inovasi korporat yang didorong oleh kepentingan persendirian atau kelompok tertentu dengan didorong oleh kepentingan ramai dan pengagihan kebajikan untuk masyarakat. Malangnya Hollywood lebih cenderung menyerlahkan watak jahat dalam menggambarkan dunia perniagaan. Malah dalam filem Wall Street, Up in the Air, Michael Clayton dipaparkan perlu membunuh sekiranya terdesak untuk berbuat demikian.

Walau bagaimanapun, terdapat filem yang berdasarkan kisah sebenar dan dokumentari yang jelas menggambarkan keburukan sektor perniagaan. Julia Roberts yang membawa watak Erin Brocovich menggambarkan Syarikat Pacific and Gas menyembunyikan fakta tentang pencemaran air. Filem Insider berdasarkan kisah benar tentang industri tembakau yang menyembunyikan kajian tentang kesan buruk merokok yang dikatikan dengan barah. Begitu juga, General Motor sememangnya menutup kilangnya di Michigan yang menyebabkan kehilangan 30 ribu pekerjaan seperti yang dipaparkan oleh Michael Moore dalam Roger and Me. Monsanto memang menggunakan tekanan ke atas petani kecil untuk menjaga kepentingan dan keuntungan syarikat hasil daripada teknologi benihnya dalam filem Food Inc..

Hollywood ketandusan cerita tentang syarikat gergasi global seperti IBM, Google dan Boeing yang memacu pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang menyerlahkan reputasi perniagaan Amerika di peringkat global di samping menyediakan kerjaya kepada ratusan ribu pekerjanya. Di manakah filem tentang syarikat yang bertanggungjawab dalam inovasi yang positif seperti Better Place dan Renault yang telah bekerjasama membangunkan teknologi kereta elektrik? Ataupun Roche yang bertanggungjawab dalam penemuan dadah Avastin untuk mengubati barah atau Starbuck dan Stoneyfield Farm yang patuh terhadap hasil pengeluaran yang beretika dan lestari?

Tentunya audiens pernah menonton filem tentang kebaikan perniagaan dan mengharapkan Hollywood berlaku adil dan seimbang terhadap filemnya. Namun, cerita kebaikan sedemikian tidak dapat menjual tiket dan tentunya sebagai entiti perniagaan, Hollywood lebih cenderung memaparkan keburukan rasuah dan kebejatan dunia perniagaan kerana cerita ini mempunyai unsur kejutan dan dramatik yang dimahukan oleh penonton. Sudah tentu filem ini akan menghasilkan keuntungan sesuai dengan falsafah Hollywood, iaitu filem itu perniagaan.

Oleh: Rahim Aziz
Dewan Ekonomi, Januari 2011