Agenda Penjagaan Kesihatan Dari Perspektif Perniagaan

SAMA ada di peringkat antarabangsa mahupun domestik, sistem penjagaan kesihatan mengalami krisis dan hal ini secara tidak langsung menimbulkan kesan kepada sektor perniagaan. Kos penjagaan kesihatan yang meningkat telah menimbulkan implikasi yang besar kepada syarikat dan kakitangannya. Sementara itu, kualiti organisasi penjagaan kesihatan adalah tidak setara, walaupun banyak yang dibelanjakan untuk memperbaiknya.

Masalah yang berkaitan dengan hal ini ialah pembekal atau organisasi penjagaan kesihatan kekurangan insentif untuk membuat inovasi secara keseluruhan untuk mempertingkatkan kualiti. Secara bersendiri, entiti perniagaan tidak mampu untuk menyelesaikan krisis ini, tetapi situasi ini tidak bermakna mereka tidak dapat melakukan sesuatu untuk memperbaik sistem tersebut.

Terdapat empat langkah yang dapat dilakukan oleh syarikat dan kakitangannya untuk memperbaik sistem penjagaan kesihatan di syarikat mereka.

Usaha mengintergrasikan kesihatan dalam budaya syarikat perlulah diterapkan. Syarikat yang progresif menggalakkan gaya hidup yang sihat, di samping mencuba untuk mengurangkan perbelanjaan yang berkaitan dengan kesihatan yang membazir. Mereka dapat juga menggunakan insentif kewangan bagi menggalakkan perlakuan yang berkaitan dengan tahap kesihatan yang dikehendaki. Contoh yang nyata ialah Johnson & Johnson. Sejak tahun 1978 lagi pengerusinya, James Burke, telah menetapkan dua matlamat bagi inisiatif yang dikenal sebagai “Hidup untuk kehidupan” (Live for life).

Yang pertama, untuk menggalakkan kakitangannya menjadi pekerja yang paling sihat di dunia dan yang kedua, untuk mengurangkan perbelanjaan penjagaan kesihatan syarikat. Hasil daripada pelbagai insiatif yang dilakukan oleh Johnson & Johnson dan kakitangannya, kajian menunjukkan bahawa inisiatif ini dapat menjimatkan kos penjagaan kesihatan syarikat sebanyak AS$225 (RM720) setahun bagi setiap pekerja, di samping peningkatan kesihatan dalam lapan daripada 13 kategori yang berisiko.

Di samping itu, syarikat harus menggalakkan penggunaan kos kesihatan yang berhemah kerana Pelan Perlindungan Kesihatan (PPK) tidak memberikan butiran tentang kos, kualiti, dan keberkesanan kepada pengguna. Perkongsian yang rapat antara majikan dengan pekerja dapat dibina dengan PPK yang menggalakkan penyertaan kakitangan, melindungi kepentingan kedua-dua pihak, dan membekalkan maklumat yang membolehkan kakitangan membuat pilihan yang terbaik.

PPK yang berteraskan pengguna dapat memenuhi keperluan ini. Contohnya ialah Definity Health Corp. (DHC) yang berpangkalan di Minnesota, Amerika Syarikat (AS), yang menyaksikan peningkatan dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan pelanggannya hanya sebanyak empat peratus berbanding dengan peningkatan purata sebanyak 12 peratus di AS sepanjang tahun 2004. Penjimatan ini dihasilkan oleh penggunaan ubatan generik, kurangnya penggunaan wad kecemasan dan kurangnya pelanggan yang dimasukkan ke dalam wad. Hasilnya, kadar pelanggan yang menggunakan semula khidmat DHC ialah sebanyak 95 peratus.

Sementara itu, langkah menyarankan pekerja mengamalkan gaya hidup yang sihat bukanlah perkara yang mudah. Lagipun, PPK direka untuk penyembuhan penyakit dan kecederaan. Walau bagaimanapun, kebanyakan penyakit memang dapat  dicegah, misalnya diabetes. Sejak tahun 1990 hingga tahun 2001, peratusan penghidap diabetes di AS bertambah sebanyak 33, manakala diabetes jenis dua yang secara tradisinya dihidapi oleh orang dewasa mula ketara dalam kalangan kanak-kanak obes.

Oleh itu, majikan mempunyai alasan yang wajar untuk melabur dalam usaha pencegahan dan penyembuhan yang efektif bagi penyakit ini. Sekiranya syarikat dapat mengurangkan kadar penghidap diabetes sebanyak 25 peratus misalnya, dalam tempoh lima tahun, hal ini tentu dapat meningkatkan produktiviti pekerja, memperbaik perbelanjaan penjagaan kesihatan syarikat dan kualiti kehidupan kakitangannya.

Walaupun langkah pencegahan memang baik, masih ada yang menghidap penyakit yang berbahaya. Pemastian awal dan penyembuhan yang berkesan seharusnya menjadi agenda penjagaan kesihatan syarikat. Bagi tujuan kesihatan dan kos yang terlibat, lebih baik untuk merawat kolesterol yang tinggi daripada merawat penyakit jantung, begitu juga dengan langkah merawat penyakit barah pada peringkat awal.

SAS Institute Inc. (SAS) ialah contoh syarikat yang komited dalam penjagaan kesihatan pekerjanya. SAS menawarkan penjagaan kesihatan asas secara percuma kepada pekerja dan tanggungan mereka melalui klinik yang dimiliki oleh syarikat. Langkah ini menjimatkan wang kerana kosnya lebih rendah daripada yang dikenakan oleh pakar dari luar, di samping menjimatkan masa kerja berbanding dengan rawatan di luar. Hali ni turut menggalakkan pekerja mendapatkan rawatan yang lebih cepat pada peringkat awal penyakit.

SAS adalah antara 40 buah syarikat yang menyertai inisiatif barah yang bersepadu yang dikenal sebagai The Gold Standard. Syarikat ini menyertai CEO Roundtable on Cancer meliputi 27 juta pekerja dan tanggungan mereka. Syarikat Gold Standard telah komited terhadap tiga strategi dalam merawat barah. Strategi yang pertama ialah pendidikan yang bertujuan untuk pencegahan dan ketua pegawai eksekutif perlu memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran.

Yang kedua ialah diagnosis awal, iaitu syarikat harus menggunakan ujian pengesanan yang terbaik dan menggalakkan pekerja menjalani pengesanan. Yang ketiga adalah memudahkan mereka yang telah dikesan menghidap barah, menjalani ujian klinikal.

Perkongsian dengan pengguna penjagaan kesihatan adalah sebahagian dari agenda. Langkah yang lebih penting adalah melibatkan perkongsian dengan pembekal dan mereka yang berpengaruh dalam sistem penjagaan kesihatan. Peningkatan dalam kos penjagaan kesihatan teleh menimbulkan hubungan yang tidak baik antara pembekal dengan mereka yang berpengaruh dalam sistem ini.

Syarikat berasa kecewa dengan peningkatan kos yang berterusan, kurangnya inovasi dari syarikat insurans dan kepimpinan pegawai awam yang lemah. Industri  ini berserabut dengan matlamat yang bertentangan antara doktor, hospital dan PPK. Sektor perniagaan pula, untuk menjaga kepentingannya sebagai pengguna, perlu menggunakan pengaruhnya untuk memulakan dialog dengan kumpulan tersebut untuk mencapai tujuan yang berikut:

Menjajarkan insentif syarikat insurans

Dalam usaha untuk mengawal dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan, sektor perniagaan harus menggalakkan kakitangan mereka supaya melanggan dengan pelan penjagaan terurus yang biasanya ditawarkan oleh syarikat insurans. Hubungan antara syarikat insurans dengan sektor perniagaan membolehkan kakitangan mendapatkan khidmat yang lebih baik dan berkesan. Terdapat juga kerjasama antara kedua-dua pihak bagi mengatasi isu yang menyebabkan peningkatan kos. Dianggarkan sebanyak 75 peratus daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan berkaitan dengan penyakit kronik.

Dalam hal ini, kontrak dapat distrukturkan semula untuk menjajarkan kepentingan syarikat insurans dan kepentingan syarikat serta kakitangannya. Contohnya, terdapat kontrak yang membenarkan pelarasan premium berdasarkan risiko dan tahap seriusnya penyakit dan hal ini boleh dilanjutkan tempohnya. Syarikat insurans dan sektor pernigaan dapat juga bekerjasama untuk mengenal pasti teknologi perubatan baharu yang boleh digunakan untuk faedah komunitinya dengan mengambil kira lokasi, keberkesanan kos dan kualiti.

Satu jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar perubatan, syarikat insurans, pengguna dan pemimpin komuniti akan membuat penilaian berdasarkan kajian saintifik. Proses tersebut dapat mencegah perbelanjaan modal yang tidak perlu. Misalnya di Rochester, AS, kos penggunaan mesin MRI (Magnetic Resonance Imaging) ialah 37 peratus lebih rendah daripada kos di Syracuse, daerah yang mempunyai komposisi penduduk yang sama.

Menuntut dan menghargai kualiti yang ditawarkan oleh pembekal

Hubungan yang baik dengan syarikat insurans adalah penting, tetapi doktor dan hospital mempunyai pengaruh yang lebih besar ke atas kos dan keberkesanan penjagaan kesihatan. Masalah yang dihadapi ialah ada variasi yang luas dari segi kecekapan dan kualiti yang ditawarkan oleh hospital dan doktor. Hal ini menyebabkan pesakit yang meninggal dunia meningkat kerana penjagaan kesihatan yang diterima, menyimpang jauh daripada piawaian kualiti perubatan.

Kebanyakan hospital dan doktor mematuhi amalan “evidence-based medicine” yang menghasilkan penjagaan yang lebih baik dengan kos yang lebih rendah. Malangnya, hospital dan doktor tidak mempunyai insentif kerana jumlah pembayaran yang sama dibuat oleh PPK tanpa mengambil kira kecekapan dan kualiti. Namun begitum hal ini sudah mula berubah. Kebanyakan syarikat telah menyarankan kakitangannya agar mendapat rawatan daripada hospital dan doktor yang cekap serta berkualiti dan memberikan ganjaran yang setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan.

Hal ini telah diamalkan oleh General Electric Co. (GE), terutamanya dalam rawatan penyakit diabetes kakitangannya. Dianggarkan 10 peratus daripada kos perubatan GE berkaitan dengan rawatan penyakit diabetes. GE mengganggarkan penjimatan AS$350 (RM1120) setahun bagi setiap pesakit diabetesnya yang dirawat, mengikut piawaian American Diabetic Association dan National Committee on Quality Assurance.

Syarikat ini berkongsi separuh daripada penjimatan tersebut dengan doktor dan pesakit untuk menggalakkan perlakuan yang berasaskan amalan terbaik. Doktor mendapat bonus AS100 (RM320) setahun bagi setiap pesakit diabetes yang dirawat berdasarkan piawaian amalan terbaik. Pesakit akan mendapat AS$75 (RM240) kerana mematuhi nasihat doktor dari segi pengambilan ubat.

Mematuhi kuasa kumpulan

Entiti perniagaan secara bersendirian walaupun besar, tidak mempunyai pengaruh untuk melakukan rombakan semula sistem penjagaan kesihatan. Langkah yang perlu dilakukan adalah bergabung dengan syarikat besar yang lain, terutamanya untuk mempengaruhi kuasa beli mereka. General Mills Inc. contohnya, telah bekerjasama dengan syarikat besar yang lain untuk mendapatkan diskaun yang banyak dalam pembelian ubatan.

Leapfrog Group ialah gabungan syarikat yang menggunakan kuasa beli mereka untuk menggalakkan pembaikan dalam amalan selamat yang akan meningkatkan nilai penjagaan kesihatan keseluruhannya. Kumpulan ini menggesa hospital supaya melaksanakan sistem berkomputer yang dapat mengurangkan kesilapan dalam memberikan ubat, merujuk pesakit yang mempunyai masalah yang rumit ke hospital yang mempunyai kepakaran dan pengalaman, serta penggunaan pakar yang terlatih dalam perubatan kritikal untuk mengawasi pesakit dalam unit rawatan rapi.

Inisiatif ini mendapat tentangan dari pihak hospital kerana kos yang tinggi untuk membangunkan sistem tersebut, tetapi Leapfrog Group berhujah bahawa tiga inisiatif tersebut dapat menyelamatkan 58 ribu orang pesakit, di samping mencegah pemberian 522 ribu ubat yang salah setiap tahun.

Secara kesimpulannya, syarikat yang berinovatif berusaha untuk mengawal penjagaan kesihatan yang baik dan berkesan di syarikat mereka. Mereka sedar akan kesan penyakit dan kecederaan ke atas produktiviti syarikat. Mereka percaya bahawa pekerja yang sihat akan menghasilkan keuntungan yang bertambah. Mereka mengelakkan pendekatan silo dalam penjagaan kesihatan dan lebih cenderung terhadap pendekatan yang holistik dengan mengukur pulangan yang bakal didapati daripada pelaburan dalam penjagaan kesihatan ini. Beberapa contoh syarikat yang dipaparkan membuktikan bahawa komuniti perniagaan mampu melaksanakan agenda dalam memperbaik sistem penjagaan kesihatan.

Oleh: Rahim Aziz
Dewan Ekonomi, Oktober 2010