Teknologi Hijau Dari Perspektif Ekonomi

TEKNOLOGI hijau yang kini menjadi perkara semasa, baik diperingkat global, negara mahupun korporat, merupakan rangsangan dalam menghadapi masalah pemanasan global. Malah, dalam Model Baru Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, penekanan kepada teknologi hijau ini amat ketara.

Sehubungan dengan hal itu, terdapat beberapa kajian yang menganggarkan kos pemanasan global. Antaranya termasuklah William Cline dari Centre for Global Development dan Institute for International Economics yang menganggarkan bahawa penggandaan kandungan karbon dioksida di atmosfera akan mengakibatkan beban kos nilai yang dianggarkan antara satu peratus dan dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Kajian oleh American Environmental Protection Agency pula memecahkan kos ini kepada beberapa kategori. Satu per empat daripada jumlah kerugian ekonomi dianggarkan akan ditanggung oleh petani yang tidak menggunakan tanah mereka untuk pertanian. Satu per enam daripada jumlah kos ini adalah dalam bentuk penambahan kos pendinginan untuk rumah dan pejabat.

Peningkatan paras laut, kerosakan pada bekalan air bersih dan gelombang panas membentuk 10 peratus daripada kos. Sementara itu, pembasmian hutan dan peningkatan dalam pencemaran ozon mengambil 10 peratus lagi. Dengan membentangkan kos tersebut, lebih mudah dicari penyelesaian yang berkesan kerana penggunaan analisis kos faedah terhadap perubahan cuaca adalah lebih sukar daripada persoalan dasar awam. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan faedah hanya dapat diraih dalam tempoh beberapa dekad, manakala kosnya dibebani sekarang.

Dalam penggunaan analisis kos faedah, William Cline mengenal pasti tiga pilihan dasar yang boleh dimanfaatkan. Pertama ialah Perjanjian Kyoto yang mensyaratkan Negara maju mengehadkan pengeluaran karbonnya kepada paras lima peratus dari tahap pengeluaran 1990, manakala Negara miskin tidak disekat pengeluarannya. Pengurangan kos pemanasan begini dapat menghasilkan faedah AS$166 trilion (RM547.8 trilion), manakala kosnya dianggarkan AS$94 trilion (RM310.2 trilion) yang memberikan kadar faedah kos 1.77 peratus.

Walau bagaimanapun, dalam Perjanjian Kyoto ini faedah kos tidak dikongsi bersama dan tidak menguntungkan Negara maju. Hal inilah yang menyebabkan Negara maju enggan menandatangani Perjanjian Kyoto.

Pilihan dasar yang kedua adalah dengan mengenakan cukai karbon global. Hal ini menurut Cline, lebih berkesan daripada Perjanjian Kyoto kerana lebih menggalakkan penggunaan pengurangan kos yang lebih rendah dalam pengeluaran karbon. Cara ini dijangka menghasilkan kos sebanyak AS$128 trilion (RM422.4 trilion) sehingga tahun 2300, manakala faedah yang bakal diraih ialah sebanyak AS$271 trilion (RM894.3 trilion) dan menghasilkan faedah kos yang lebih tinggi, iaitu 2.1 peratus.

Pilihan dasar yang ketiga mengambil kira bahawa jangkaan perubahan cuaca merangkumi senario yang lebih luas. Cline melihat faedah dan kos pemanasan global merangkumi 95 peratus daripada kemungkinan yang timbul dan bukan jangkaan purata. Keadaan ini melibatkan kos yang tinggi, iaitu 3.5 peratus hingga lima peratus dari jumlah keluaran global sepanjang kurun ke-21, iaitu AS$458 trilion (RM1511.4 trilion). Namun demikian, faedahnya juga besar, iaitu sekitar AS$179 trilion (RM5771.7 trilion) dan memberikan faedah kos yang tinggi, yakni 3.8 peratus.

Pilihan dasar yang dinyatakan seperti yang di atas menjelaskan beberapa perkara. Mengikut analisis ekonmi, isu pengurangan pemanasan global menampakkan hasilnya dalam jangka masa yang panjang. Sementara itu, faedahnya akan diraih dalam tempoh yang lama dan kosnya akan dibebani dalam tempoh terdekat.

Berkaitan dengan isu pemanasan global yang terhasil daripada penggunaan sumber tenaga yang berasaskan bahan bakar daripada minyak, terdapat enam sumber yang sedang diteroka oleh ahli sains dan pihak industri. Walaupun perkembangannya masih diperingkat awal, hal ini menjanjikan kemungkinan hasil yang positif dalam usaha untuk menyelamatkan dunia daripada cengkaman pemanasan global. Perkara pokok yang perlu diambil kira ialah persoalan ekonomi, iaitu tentang kaedah kos untuk menghasilkannya.

Penggunaan turbin angin yang konvensional terhenti apabila bekalan angin mula surut. Turbin yang berbelon dan rotor boleh menggembleng kuasa angin pada ketinggian 1000 kaki hingga 15 ribu kaki. Terdapat potensi kuasa angin yang dapat menjanakan tenaga untuk kegunaan planet ini 100 kali ganda, tetapi sama ada potensi dapat dimanfaatkan dari segi ekonomi atau sebaliknya, hal ini belum dapat dipastikan.

Sementara itu, biobahan api yang dibuat daripada minyak tumbuh-tumbuhan memerlukan penuaian dan pemprosesan yang bertingkat-tingkat. Alga yang dihasilkan secara genetik dapat menghasilkan minyak yang oleh digunakan dalam industri pengangkutan. Walaupun minyak alga mempunyai potensi, penghasilan minyaknya secara komersial belum dapat dikeluarkan. Walau bagaimanapun, beberapa syarikat minyak dan syarikat aeroangkasa sudah mula membuat pelaburan dalam bidang ini termasuk kerajaan Amerika Syarikat.

Tenaga ombak pula dapat digunakan untuk mengendalikan generator elektrik. Walaupun penggunaannya belum meluas, analisis yang dibuat oleh Greentech Media/Prometheus menganggarkan bahawa potensi pasaran bagi tenaga ombak ialah sekitar AS$500 juta (RM1650 juta) setahun dan berkembang 100 kali ganda dengan keuapayaan gigawatt.

Selain itu, lakuran nuklear, iaitu reaksi atom yang memberikan cahaya kepada bintang dapat digunakan untuk menjana tenaga. Pada tahun 2010, United State of National Ignition Facility memfokuskan sinar laser kepada kapsul yang dipenuhi dengan hidrogen untuk menyalakan reaksi lakuran yang berupaya menghasilkan tenaga.

Penggunaan geoterma yang konvensional hanya berupaya mengeluarkan tenaga berhampiran dengan permukaan bumi. Sementara itu, Enhanced Geothermal System (EGS) yang menembak air sejuk sedalam dua batu ke kerak bumi bagi menghasilkan tenaga, dapat digunakan di mana-mana sahaja. Menurut United State Department of Energy, penambahbaikan kepada EGS akan menjadikannya sumber tenaga yang mampu dihasilkan secara ekonomik.

Sementara itu, penggunaan tenaga suria secara berterusan dihalang oleh awan, debu dan waktu malam. Teknologi di angkasa dapat menyerap tenaga suria sepanjang masa dan kemudian dipancarkan ke bumi melaui gelombang radio. NASA dan United State Department of Energy mengkaji konsep ini lebih dari 30 tahun dan mendapati teknologi ini berdaya maju secara teknikal, walaupun secara ekonominya belum dapat dipastikan. Walau bagaimanapun, syarikat solar telah menandatangani kontrak dengan California Pacific Gas and Electric untuk membekalkan elektrik dari angkasa bermula dari tahun 2016.

Sehubungan dengan hal itu, cabaran untuk menghadapi pemanasan global memerlukan revolusi dalam pemikiran. Hal ini dikatakan demikian kerana ancamannya amat ketara. Di samping ketidakselesaan yang bakal dihadapi, kos yang ditanggung oleh negara dan sektor korporat dalam usaha untuk beralih kepada bahan bakar yang “hijau” juga amat besar. Namun demikian, dalam setiap krisis terdapat peluang yang dapat dimanfaatkan, iaitu dari segi produk, proses, dan model perniagaan yang baharu.

Antara negara yang mendahului dalam pemikiran baharu ini alah Sweden. Berbanding dengan negara perindustrian lain, Sweden mendahului rakannya dalam usaha membebaskan diri daripada pergantungan kepada bahan bakar yang berasaskan petroleum. Sekarang, hanya 30 peratus daripada keperluan tenaga itu berasaskan minyak berbanding dengan 77 peratus pada tahun 1970-an.

Sebagai perbandingan, 85 peratus daripada keperluan tenaga di Amerika Syarikat bergantung pada minyak. Sebanyak 15 peratus daripada kenderaan di Sweden menggunakan etanol, iaitu satu peningkatan yang ketara daripada kadar dua peratus dalam tahun 2000. Kenderaan yang menggunakan etanol, iaitu bahan yang terhasil daripada tebu atau selulosa dianggarkan mengeluarkan 85 peratus hingga 90 peratus gas rumah hijau, kurang daripada yang dikeluarkan oleh kenderaan yang menggunakan minyak.

Pada tahun 2005, sebuah suruhanjaya yang ditaja oleh kerajaan Sweden mengumumkan hasrat untuk menjadikan negara itu sebagai “ekonomi pertama di dunia yang bebas daripada penggunaan minyak” bermula dari “Wilayah Biobahan Api” yang sedia ada. Kawasan ini meliputi 22 buah petempatan perbandaran yang terletak di Gulf of Bothnia, iaitu 320 kilometer ke utara Stockholm. Dalam kawasan ini, bekalan etanol memang sedia ada pada kos serendah kos menggunakan minyak.

Yang menarik, perubahan ini dilakukan dengan usaha pihak temptan secara senyap dan dirangsang oleh sekumpulan mereka yang komited dari sektor swasta dan sektor awam. Tidak ada bantuan kerajaan dari segi subsidi, tenaga kerja atau penyelidikan yang mengambil masa yang lama. Kejayaan Sweden ini menjadi model bernilai yang dikenali sebagai “inovasi asas”. Hal ini merangkumi perubahan fundamental dalam teknologi dan organisasi yang mencipta industri baharu, mengubah apa-apa yang sedia ada dan selanjutnya mentransformasikan masyarakat.

Sweden tidak keseorangan dalam usaha mencari sumber tenaga alternatif. Iceland yang terletak atas gunung berapi di bawah tanah, menggunakan tenaga geoterma untuk memanaskan 90 peratus daripada bangunan di negaranya. Negara ini bercadang menggunakan kuasa geoterma dan hidroelektrik bagi menghasilkan hidrogen untuk membolehkan Iceland menjadi negara ekonomi hiydrogen yang pertama di dunia.

Sektor swasta di Iceland juga tidak ketinggalan dalam usaha ini, malah terdapat beberapa usaha yang berjaya dan menguntungkan dalam produk baharu, pemprosesan, pembekalan, dan pengenalan model perniagaan yang baharu yang meyakinkan bahawa pemanasan global menyerlahkan peluang perniagaan yang berdaya maju. Du Pont, sebuah syarikat, mengubah penggunaan bahan dalam produknya, daripada yang berasaskan minyak kepada yang menggunakan biomaklum stok. Daripada kacang soya dan termoplastik yang dibuat daripada gula jagung.

Coca-cola menjalin perkongsian dengan World Wildlife Fund pada tahun 2007 untuk “menggantikan setiap titik air yang digunakan dalam pembuatan minuman dan proses pembuatannya.” Sementara itu, Nike pula mengurangkan kesan karbon lebih daripada 75 peratus sejak tahun 1988. Untuk itu, Nike memikirkan semula cara untuk mereka bentuk, mengeluarkan, mengedarkan keluarannya, dan kaedah bagi mengitar semula produk yang telah tamat hayatnya.

Mungkin mudah untuk mengetepikan usaha tersebut sebagai kes yang terpencil. Hakikatnya, hal ini berhubung kait dengan kesedaran untuk bertindak terhadap pemanasan global, pembaziran, pembuangan toksik dan pemupusan sumber, selain yang penting memikirkan mana-mana yang dapat menjadi mangkin pemikiran baharu.

Dalam usaha untuk mengatasi pemanasan global dan isu yang berkaitan, terdapat langkah penjimatan yang mampu dilakukan. Syarikat gergasi seperti IBM, Alcoa dan Walt-Mart, dapat berjimat dengan mengurangkan pembaziran dan penggunaan tenaga. Du Pont pula dapat berjimat sebanyak AS$3 bilion (RM9.9 bilion), General Electrical Industrial berjimat sebanyak AS$12.8 juta (RM42.24 juta) setahun dengan menukar peralatan lampu di lojinya.

Ford mengurangkan masa yang diambil untuk kerja pengecatan keretanya dengan penggunaan teknologi pengecatan 3 tiga lapis secara serentak. Perubahan ini membolehkan Ford mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 15 peratus dan menguranakan masa pengecatan sebanyak 20 peratus. IBM dan Google juga mengesahkan bahawa usaha penjimatan tenaga memberi mereka kelebihan bersaingan.

Bukan sahaja penjimatan dapat dilakukan, tetapi usaha tersebut berupaya juga menghasilkan pendapatan dan keuntungan. General Mills menjual sekam oat sebagai bahan pemanas serta memperoleh lebih pendapatan daripada kos untuk membuangnya dan antara pelanggannya ialah United State Steel. Menurut National Homeowner Association, pasaran untuk bangunan “Hijau” mencecah AS$7.4 bilion (RM24.42 bilion) pada tahun 2005 dan dijangkakan berkembang kepada AS38 bilion (RM125.4 bilion) pada tahun 2010.

Apa-apa yang nyata ialah syarikat yang berupaya mencipta produk dan proses yang mengambil kira prinsip ekologi dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau secara dramatic, mampu merintis masa hadapan yang cerah untuk industrinya. Toyota, Honda, Sony Europe, General Electric Industrial, Shell, dan beberapa syarikat lagi, sedang bergerak ke arah ini. General Electric Industrial misalnya, menggandakan peruntukan penyelidikan dan pembangunannya kepada AS$1.5 bilion (RM4.95 bilion) bagi teknologi ecomagination, termasuk turbin kuasa angin, peralatan yang cekap tenaga, enjin kapal terbang serta lokomotif yang kurang mengeluarkan karbon dioksida.

Dunia menghadapi cabaran “80-20”, iaitu kaedah untuk mengurangkan pengeluaran gas hijau sebanyak 80 peratus dalam tempoh 20 tahun. Kos yang terpaksa ditanggung jika pemanasan global ini tidak ditangani segera amat tinggi. Oxfam International, pada tahun 2007, mengeluarkan hasil Kajian tentang impak kewangan pemanasan global ini kepada negara miskin. Kesan daripada kemarau, pemusnahan tanaman, kekurangan bekalan air dan penyakit, dianggarkan sebanyak AS$50 bilion (RM165 bilion) setahun.

Berdasarkan kajian The Economics of Climate Change yang dibuat oleh kerajaan Britain menyimpulkan bahawa sekiranya perubahan dramatik tidak dilakukan segera, kesannya kepada ekonomi dunia dalam beberapa dekad akan datang akan “menyerupai kesan peperangan dunia dan kemelesetan ekonomi pada awal tahun 1030-an”. Tiada siapa yang mempunyai formula untuk menangani “80-20”, tetapi yang pastinya, hal ini tidak dapat diatasi dengan siystem perindustrian yang sedia ada. Sebaliknya, hal ini memerlukan lonjakan paradigma dan perubahan fikiran serta daya inovasi yang tinggi untuk mencari sumber alternatif tenaga yang dapat dijana secara ekonomik.

Oleh: Rahim Aziz
Dewan Ekonomi, Julai 2010

One thought on “Teknologi Hijau Dari Perspektif Ekonomi

  1. masni shahril says:

    Indahwater menguruskan lebih kurang 6000 ribu pusat rawatan kumbahan di negara ini daan saluran paipnya sepanjang 13,000 km. Jika di bangunkan sumber ini rasanya berupaya menjana tenaga.

Comments are closed.