Strategi Laut Biru

Pendahuluan

Buku ini adalah sebuah buku tentang persahabatan kesetiaan  dan saling percaya antara satu sama  lain. Berdasarkan persahabatan dan kepercayaan inilah yang menyebabkan kami memulakan perjalanan menerokai idea-idea  asas di dalam buku ini dan selanjutnya menulis mengenainya.

Kami mula-mula berjumpa 20 tahun yang lalu di dalam bilik kuliah – seorang sebagai profesor dan seorang lagi pelajarnya. Dan kami telah bekerjasama sejak awal lagi dan sering melihat diri kami bergerak meneroka sebagai sebuah pasukan. Buku ini bukanlah kejayaan kepada satu idea, tetapi melambangkan persahabatan yang kami rasakan lebih bermakna daripada apa jua idea tentang dunia perniagaan. Persahabatan telah menjadikan hidup kami lebih sempurna dan lengkap serta dunia kami lebih cantik. Kami tidak berseorangan.

Tidak ada perjalanan yang mudah, tidak ada persahabatan yang hanya dipenuhi dengan gelak ketawa. Namun kami sentiasa seronok pada setiap hari dalam perjalanan kami kerana kami sedang melaksanakan misi untuk belajar dan memperbaiki diri. Kami percaya dengan sepenuhnya tentang idea-idea di dalam buku ini. Idea ini bukanlah untuk mereka yang sekadar mahu mencapai sesuatu atau untuk mereka yang hanya ingin terus hidup. Kami tidak minat dengan semua ini. Jika anda boleh berpuas hati tentang matlamat tersebut janganlah baca buku ini. Tetapi jika matlamat anda adalah untuk mewujudkan sesuatu yang berbeza, iaitu mewujudkan syarikat yang boleh membina masa hadapan apabila pelanggan, pekerja, pemegang saham dan masyarakat mencapai kejayaan, teruskan bacaan anda. Kami tidak mengatakanya mudah, tetapi kami pasti ia berbaloi.

Kajian kami telah membuktikan bahawa tidak ada syarikat yang cemerlang secara berterusan, seperti juga tiada industri yang kekal gemilang. Seperti yang telah kami dapati daripada pengalaman yang kami lalui, kita semua sama juga seperti syarikat, melakukan perkara yang bijak dan juga perkara yang kurang bijak. Untuk memperbaiki kualiti kejayaan kita, kita perlu mengkaji apa yang telah kita lakukan yang mewujudkan perbezaan yang positif dan memahami bagaimana untuk melaksanakannya semula secara sistematik. Inilah yang kami panggil penggerak strategi bijak dan kami dapati bahawa untuk mengerakkan strategi yang akan memberikan kesan yang besar adalah untuk mewujudkan Laut Biru.

Strategi Laut Biru mencabar syarikat untuk keluar dari Laut Merah yang penuh  persaingan, dengan mewujudkan ruang pasaran yang tidak direbut yang menjadikan persaingan tidak lagi relevan. Daripada cuba membahagikan jumlah permintaan yang sedia ada, dan yang selalunya semakin mengecut, dan melakukan perbandingan dengan pesaing, Strategi Laut Biru adalah mengenai usaha mengembangkan pasaran dan keluar daripada pertandingan. Buku ini bukan sahaja cuba untuk mencabar syarikat tetapi untuk menunjukkan kepada mereka bagaimana mencapai matlamat ini. Kami mula dengan perkenalkan satu set alat penganalisis dan rangka kerja yang menunjukkan cara sistematik menangani cabaran ini, dan kemudian kami mengembangkan prinsip-prinsip yang mendefinisikan dan membezakan Strategi Laut Biru daripada strategi berasaskan persaingan.

Matlamat kami adalah untuk menjadikan kaedah merumus dan melaksanakan Strategi Laut Biru cukup sistematik dan boleh dilaksanakan seperti juga kaedah strategi untuk bertanding di Laut Merah. Hanya dengan cara ini syarikat boleh menyahut cabaran untuk mewujudkan Laut Biru secara bijaksana dan bertanggungjawab yang memaksimumkan peluang dan meminimumkan risiko. Tidak ada syarikat, sama ada besar atau kecil, baru atau yang sudah kukuh, boleh bertindak sebagai penjudi jalanan. Tidak ada syarikat yang sepatutnya bertindak sedemikian.

Kandungan buku ini adalah berasaskan penyelidikan lebih daripada 15 tahun, penganalisisan data lebih daripada 100 tahun dan siri artikel “The Harvard Business Review” serta artikel-artikel akademik berkait dengan berbagai-bagai dimensi tentang tajuk ini. Idea, alat, dan rangka yang dipersembahkan di sini telah diuji dan diperhalusi beberapa tahun yang lepas mengikut amalan korporat Eropah, Amerika Syarikat dan Asia. Buku ini telah mengembangkan dan menyambung usaha ini dengan mewujudkan rekod rasmi yang menggabungkan semua idea ini sekali gus mewujudkan satu rangka yang bersepadu. Rangka ini mengambil kira bukan sahaja aspek analitis di sebalik kewujudan Strategi Laut Biru tetapi juga aspek kemanusiaan tentang bagaimana untuk membawa organisasi dan manusia dalam perjalanan ini serta kerelaan mereka untuk melaksanakan idea ini. Di sini kefahaman tentang membina kepercayaan dan komitmen serta kefahaman tentang kepentingan cara mengenal pasti intelektual dan emosi telah ditonjolkan dan dijadikan teras kepada strategi.

Peluang Laut Biru sedia wujud di luar sana. Pasaran sentiasa berkembang walaupun semasa pasaran itu diterokai. Kami percaya pengembangan ini adalah asas kepada pembangunan. Walau bagaimanapun wujud kurang kefahaman dari segi teori dan amalan tentang cara mewujudkan dan menerokai Laut Biru. Kami menjemput anda untuk membaca buku ini bagi mempelajari bagaimana anda boleh menjadi pemandu kepada proses perkembangan ini pada masa hadapan.